21 Jun 2009 merupakan tarikh hari bapa pada tahun ini. Sepanjang hidup aku, memang aku tak pernah ingat dan tak pernah sambut pun hari bapa ni. Bukan sebab aku tak sayang ayah aku. Tapi aku dah tiada ayah sejak aku berusia 1 tahun. Dan mungkin anda akan fikirkan mesti ada lelaki yang ibarat bapa untuk aku lantik sepanjang hidup ni. Memang tiada. Sepanjang umur aku hanya mak dan nenek aku yang mencurahkan kasih sayang kat aku.
Tetapi tak bermakna aku lupakan arwah ayah aku. Disebabkan dia la aku dan sekeluarga mendapat jaminan hidup. Dengan duit pencen dan wang yang dipegang oleh Amanah Raya Berhad menjadikan hidup kami sekeluarga berjalan lancar. Disebabkan dia juga lah abang aku mendapat pekerjaan Penolong Penguasa Penjara kerana dahulu ayahku antara orang berpengaruh dalam pakaian seragam ini.
Kadang-kadang aku terfikir ingin menjengok kuburnya di tanah perkuburan yang terletak di Guar Cempedak, Kedah. Tetapi aku tak berapa pasti kubur yang mana. Memang dah lama aku tak melawat ke sana. Cuti hari pekerja lepas aku bercadang nak ke sana tetapi halangan menimpa apabila mak aku kemalangan pula.
Bila difikirkan kesian arwah ayahku. Kuburnya tidak terurus sewaktu kali terakhir aku melawat ke sana pada tahun lepas. Tanah yang rata dan tak berjaga walaupun ada saudara mara terdekat berdekatan tinggal di situ. Abang iparku cukup marah apabila melihat perkara sebegini. Diceritanya bagaimana seisi keluarganya tidak pernah meninggalkan kubur sehingga rata dan tak terurus.
Aku hanya mampu berdoa agar ayahku bersemadi dengan aman di sana. Semoga rohnya dicucuri rahmat. Bagi anda yang masih mempunyai ayah, jaga la mereka dengan baik. Tak semua orang merasa ada ayah. Jaga bila mereka dah tiada baru nak hargai jasa mereka. Baru nak rasa kehilangannya.
Al-Fatihah buat arwah ayahku.






